Monday 30 June 2014

Memacu Transformasi tapi ICT tak dipeduli

Gherek Bughok terpesona dengan tagline 'Kedah Aman Makmur, Bersama Memacu Transformasi'.  Yang Gherek Bughok faham ialah Kedah Aman dan Makmur, rakyat hidup dengan selesa, bebas mencari rezeki dan menikmati banyak kemudahan yang disediakan oleh kerajaan yang memerintah.

Gherek Bughok kayuh saja masuk kampung-kampung, nak akses internet jadi susah. Macam kura-kura.


Heboh dalam TV dok iklan tentang 3G, 4G dan pelbagai teknologi untuk capaian internet yang laju.

Apa yang Gherek Bughok dapat hanyalah E. Ingatkan E tu untuk express, rupanya E tu untuk bagi pengguna syok saja yang dia ada akses internet. Tunggu sampai bateri HP habus baru gaya nak tunjuk page.

Itulah yang berlaku dikawasan-kawasan luarbandar di Kedah. Exco ICT katanya orang muda tetapi dengarnya hanya dok sibuk tentang KHTP, Airport Kulim dan Kedah Medical City saja. Apa dah jadi dengan ICT?

Pelajar-pelajar lepasan universiti di kampung-kampung terpaksa berulang-alik ke pekan terdekat yang ada talian internet untuk cari kerja online. Malah mereka amat ketinggalan.

Gherek Bughok nak tanya kepada exco ICT, apa perancangan YB untuk rakyat luarbandar untuk akses internet dengan lebih laju? Takkan nak biarkan mereka pakai 9.6 kbps atau 384 Kbps sahaja? Tak dak ke perancangan untuk kemudahan mereka diluarbandar ini?

Atau YB dah lupa tugasan YB tentang ICT kerana sibuk dengan projek berbilion ringgit yang sedang YB war-warkan.

Gherek Bughok cuma nak ingatkan supaya bekerjalah untuk rakyat, bukan bekerja untuk poket sendiri.
read more...

Thursday 26 June 2014

Airport vs Medical Science City

Selepas Airpot bertaraf antarabangsa yang bernilai RM1.6 Bilion, kita Medical Science City yang katanya sudah ada pelabur yang berjumlah RM2.8 Bilion diwar-warkan oleh MB Kedah.

Gherek hanya nak tanya, kenapa hanya Kulim Bandar Bharu saja yang dapat berbilion-bilion pelaburan? Kenapa tidak baling, sik atau Jerlun?

Apakah kerana EXCO MOU datang dari Kulim Bandar Bharu? 

Airport katanya untuk memperlengkapkan KHTP yang sudah canggih, apakah Medical Science City juga bakal melengkapkan KHTP yang Presidennya sedang ketakutan untuk melawan kawasan Perindustrian Tinggi Batu Kawan?

Presiden dan Exco jenis apakah ini? Disebabkan ada saingan, maka kerajaan perlu belanja bilion ringgit untuk memenuhi kehendak Exco dan Presiden. 

Bukankah mereka dilantik untuk memberi idea baru untuk menarik pelaburan asing ke kawasan mereka?  Apakah dengan adanya airport dan Medical Science City, KHTP bakal menerima bilion pelaburan? 

Nampak sangat tidak ada kreativiti dan innovasi yang ditonjolkan oleh exco Hi tech dan Presiden KTPC ini.

Gherek agak skeptikal apa sebenarnya tujuan mereka mencadangkan Airport dan Medical Science City ini.

MB dah lupa ka yang bandar metropolis dan rubber City tak nampak apa lagi pun. Dah timbul airport dan Medical Science City pulak.

Dan apa dah jadi dengan City of the Future? Dah tiada future lagi ka?
read more...

Thursday 19 June 2014

Lapangan Terbang Antarabangsa di Kedah


Gherek Bughok dah sampai ke kawasan Kulim.

Rancak diperkatakan tentang pembinaan sebuah lapangan Terbang Antarabangsa untuk penumpang dan kargo/logistik.

Pada peringatan Gherek, cerita tentang Airport di Kedah ini sudah lama timbul. Cuma kajian terperinci pada masa dulu menyatakan yang ianya masih belum tiba waktunya untuk ada kerana Kedah perlu fokus kepada isu-isu lain yang perlu segera diambil-tindakan.

Dan jika ditanya kepada pegawai-pegawai kerajaan yang sudah pencen, mereka juga mengatakan yang Kedah ada keutamaan lain yang perlu diberi perhatian serius.

Kenyataan Exco Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi yang lapangan terbang ini bakal melengkapkan pembangunan menyeluruh KHTP, menarik perhatian. Apakah sebuah kawasan industri berteknologi tinggi memerlukan sebuah lapangan terbang dan barulah ia menjadi sebagai taman teknologi lengkap? 

Pada pendapat Gherek, KHTP yang ada hari ini bukanlah kerana wujudnya sebuah Airport antarabangsa. Malah Intel, Fuji, Infineon dan lain-lain datang melabur di KHTP sewaktu tidak wujudpun lebuhraya BKE. Mereka datang atas kebijaksanaan ketua KTPC dan pemimpin negeri pada waktu itu. 

Bagi mereka ada keperluan lain yang perlu diberi perhatian segera. Contohnya bekalan air, sekolah antarabangsa, bandar Kulim sendiri dan suasana disekitar KHTP yang perlu diperbaiki supaya mereka boleh menetap di KHTP.

Malah apabila lebuhraya BKE wujudpun mereka masih berulangalik dari Kulim ke Penang. Apakah dengan adanya Airport, mereka akan menetap di Kulim Hi Tech?

Lapangan Terbang Kuantan, Ipoh dan Batu Berendam sehingga kini gagal menarik operator kapalterbang untuk mendarat. Inikan pula sebuah lapangan yang berada bersebelahan dengan sebuah lapangan terbang antarabangsa yang sudah terkenal.

Atau apakah YB dan Kedah akan berbangga kerana mempunyai lapangan Terbangyang terbanyak di Malaysia?

Bagi Gherek, keutamaan lain perlu diambil perhatian terutama yang diletakkan dalam manifesto pilhanraya PRU13 lalu. Jangan asyik melaksanakant projek mega baru tetapi akhirnya segelintir kecil manusia yang untung besar, tetapi rakyat juga yang rugi.

Katakan tiba-tiba dengan kuasa Allah Taala, Pulau Pinang ditawan BN pada PRU14 kelak dan UMNO menjadi pemain utama dalam kerajaan Negeri Pulau Pinang, apakah akan timbul konflik besar berkaitan dengan lapangan terbang antarabangsa ini ?

Jika benar, Bayan Lepas tidak mampu menampung sebagai pusat kargo, sudah dibuat kajian kah tentang berapa kapal kargo berlepas setiap bulan sehingga koridor utara memerlukan sebuah lapangan kargo baru? 

Apakah projek 'double track' yang bakal memberi laluan lebih kepada kargo juga diambil kira?

Terus-terang Gherek Bughok ingin nyatakan disini yang Kerajaan negeri perlu fokus kepada penambahbaikan kepada projek-projek yang sedia ada. Contoh, semua kawasan-kawasan industri (kecuali KHTP yang mendapat geran dari Pusat) di Kedah perlu diurus dan dijaga dengan baik. Lihat kawasan industri Gurun yang tenantnya terpaksa buat kutipan untuk uruskan kawasan sekitar. Miel dan Ria sungai Petani sudah malap. Bukit Kayu Hitam yang ada industri logistik dan aerospace tidak terjaga.

Kedah sudah ada 2 lapangan terbang, tambahbaik kedua-dua lapangan terbang ini. Lapangan terbang baru mungkin diperlukan bila Kedah dah mencapai taraf negeri maju satu masa nanti. Itupun jika Perak utara tidak berminat untuk ada lapangan terbang sendiri.

Duit yang berbilion ini mungkin boleh diguakan untuk membangunkan Sik, Baling, Padang Terap dan Yan yang sangat ketinggalan. Malah duit yang banyak ini boleh digunakan untuk memperbaiki jeti Kuala Kedah yang kalau kita tengok pun amat sedih. Malah, duit yang banyak ini boleh perbaiki Lapangan terbang Kepala batas supaya lebih baik dan menjadi antarabangsa jika dilakukan dengan baik dan ini dapat memajukan Jitra dan Alor Setar Bandar Metropolis.

Gherek nampak, projek mega bakal menguntungkan Pulau Pinang seperti mana KHTP juga memberi keuntungan kepada Pulau Pinang jika kita lihat dari segi kependudukan. 

Jadi Gherek berharap janganlah terlalu ghairan dengan projek-projek mega ini, kerana rakyat Kedah memerlukan penambahbaikan keperluan-keperluan asas yang kalau orang-orang besar Kedah jalan dan lihat sekitar masih banyak kekurangannya.

Berpada-padalah dengan apa yang kita ada dan jagalah dengan baik sebelum terjerumus ke lembah yang bakal merosakkan Kedah suatu hari Kelak. Jangan terlalu ghairah dengan projek Mega sehingga lupa keperluan asas orang Kedah. Penuhilah manifesto PRU13 yang banyak lagi belum dipenhui sepenuhnya. 

Jangan jadikan waktu memerintah sebagai masa untuk mengaut kekayaan. 

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Jadi tinggalkan nama yang baik dihati rakyat.  

ALOR SETAR – Cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baru di Kulim bukan suatu pembaziran, sebaliknya keperluan untuk memberi perkhidmatan logistik kepada Wilayah Utara.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, perkara itu juga bukan dibuat secara terburu-buru malah kajian dan perincian projek sudah dibincangkan dalam Makmal Transformasi Kedah (MTK) pada September 2013.

“Cadangan membina lapangan terbang ini adalah hasil daripada MTK dan sudah dibuat kajian, justifikasi dan rasional sebuah lapangan terbang baru wajar dibina di Selatan Kedah. Antara tujuannya untuk melengkapkan pembangunan secara menyeluruh di Kulim Hi-Teck Park (KHTP) selaras dengan Pelan Transformasi KHTP,” katanya.

Menurutnya, antara aspek yang perlu dibuat penambahbaikan untuk menjayakan pelan itu adalah keperluan membina lapangan terbang antarabangsa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu turut menempelak kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyifatkan cadangan itu sebagai pembaziran dan tidak berkepentingan rakyat.

“Ini bukan projek yang membazir. Ini keperluan masa depan untuk Wilayah Utara dalam menyediakan perkhidmatan lengkap kepada pelabur dan pemain industri. Malah saya percaya ia juga penting untuk pembangunan Koridor Utara dalam merancakkan lagi pembangunan industri,” ujarnya.

Tambahnya, kemungkinan Guan Eng dibayangi rasa resah sekiranya lapangan terbang baru itu menjadi kenyataan, kelak aliran trafik di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas terjejas atau pelabur luar beralih ke Kedah, berikutan kemudahan yang disediakan lebih baik.

Katanya, fungsi lapangan terbang itu juga kelak lebih menyeluruh dan mempunyai landskap berbeza dengan lapangan terbang berdekatan, antaranya mempunyai dua landasan bagi kegunaan kargo dan penumpang.

“Ia juga bakal dilengkapi perkhidmatan khusus untuk bidang industri yang mana Kedah kawasan industri bertumpu di Sungai Petani dan Kulim. Faktor jarak dari lapangan terbang sedia ada menyebabkan perkhidmatan tidak dapat ditawarkan dengan baik,” katanya.

Merujuk kepada anggaran keluasan mencecah 6,000 hektar, beliau berkata, perkara itu diputuskan setelah butiran terperinci dibincangkan bersama agensi berkaitan termasuk Malaysia Airport Berhad (MAB) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

“Sememangnya kita ada wakil MAB dan DCA dalam Jawatankuasa Infrastruktur dan Kerja Raya bawah MTK yang membincangkan terperinci projek ini. Kita juga dapatkan input berkaitan daripada mereka sebelum perkara itu diputuskan dalam mesyuarat,” katanya.

Ujarnya, perbincangan berkaitan projek itu dibuat dari semasa ke semasa, malah jawatankuasa akan kemukakan kertas kerja dan kajian terperinci baru selepas perkara itu diteliti Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Buat masa ini, perancangan awal dalam penelitian Perdana Menteri, butiran terperinci akan dikemukakan lagi apabila kita melalui fasa-fasa perbincangan kerana ia masih di peringkat awal cadangan,” katanya.
read more...

Tuesday 17 June 2014

Projek Mega dan Ekonomi Setempat

1.Pembinaan projek-projek mega dilaksanakan oleh kerajaan bagi menjana ekonomi setempat dimana berbilion wang dibelanjakan bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dijana selanjutnya meningkatkan permintaan terhadap hartanah dan perkhidmatan. Peluang ekonomi yang dijana diharapkan dapat membangunkan ekonomi penduduk tempatan.

2.Namun, apabila terlaksana projek besar, didapati tujuan asal meningkatkan ekonomi setempat menyebabkan orang luar yang sudah memegang ekonomi datang dan mengambil alih rangkaian ekonomi ditempat yang baru dibangunkan. Penduduk asal gagal bersaing dengan usahawan luar yang ternyata sudah memiliki pengalaman selok belok perniagaan. Akhirnya, penduduk setempat yang dahulunya mempunyai serba sedikit perniagaan dan perusahaan tewas dengan perasingan dan terpaksa menerima tawaran menjual hartanah pada harga yang menarik.

3.Idea pembangunan ekonomi setempat dengan menjana projek mega sangat baik, namun ia perlu disempurnakan dengan penyediaan penduduk setempat agar dapat mengeksploitasi kelebihan tersebut. Kegagalannya, menyebabkan bukan sahaja kek ekonomi tidak dapat dirasai, malah penduduk setempat semakin terpinggir dan hilang segala-galanya.

4.Di negara ini, sudah banyak projek-projek mega yang kononnya akan membawa pembahagian ekonomi kepada penduduk setempat, namun terbukti penumpuan kepada projek mega semata-mata menyebabkan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

5.Projek mega juga tidak lagi menjadi satu umpan yang menarik dimata rakyat, kecuali segelintir orang keliling yang menjangkakan akan mendapat habuan dalam pelaksanaan projek tersebut. Hasil yang dilihat oleh kelompok ini adalah dalam pembinaan projek, bukan hasil yang dibawa oleh operasi setelah projek siap.

6.Apa yang perlu disedari adalah, sudah banyak projek yang ada dan sudah cukup untuk menjana ekonomi jika penduduk setempat dibawa ke dalam kitaran ekonomi sesuatu projek. Pembangunan taman industri contohnya, menyebabkan permintaan kepada perkhidmatan sokongan seperti pembelian alatulis, khidmat konsultant, barangan pejabat, kontraktor pembinaan, pemasangan mesin, pekakasan besi dan sebagainya. Daripada semua ini, berapa peratus bahagian yang dapat dirasa oleh penduduk tempatan, selain dari perkhidmatan kantin?

7.Lebih dekat pembangunan projek dengan negeri yang lebih maju, semakin tipis peluang penduduk tempatan merasai kek ekonomi hasil dari projek-projek tersebut. Di Kedah, contohnya, perusahan-perusahaan di kawasan Sungai Petani, Kuala Ketil, Kulim membawa limpahan ekonomi yang lebih banyak kepada peniaga dari Pulau Pinang berbanding dengan Kedah, walaupun tiada kajian menyeluruh, mereka-mereka yang berada dalam sektor tersebut tahu ini adalah fakta yang tidak mungkin disanggah.

8.Sebelum mengejar projek-projek mega yang belum pasti, penumpuan kepada membina komponen ekosistem ekonomi tempatan adalah lebih utama, walaupun tidak membawa populariti. Apabila pembelian sekecil-kecil kad nama pun ditempah dari Pulau Pinang, kerajaan perlu menjadi lebih baik dengan memikirkan satu kaedah bagaimana membantu penduduk setempat. Kitaran projek mega akhirnya hanya menyebabkan penduduk tempatan hilang lebih banyak tanah dan berpindah ke pinggir hutan.

9.Apabila terdapat tentangan terhadap projek mega, ianya tidak boleh lagi dilihat sebagai penentangan bermotifkan politik, sebaliknya perlu difikirkan dengan sejujur jujurnya kenapa ia ditentang.
read more...

Monday 16 June 2014

Gherek Gughok yang kritis

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh, Selamat datang ke blog Gherek Bughok. Gherek Bughok ini digunakan untuk meronda ke seluruh Kedah dan memerhatikan apa yang sedang berlaku.

InsyaAllah, Gherek Bughok akan cerita dan coretkan apa yang dilihat dan dirasakan penting untuk diberitahu rakyat Kedah khasnya, dan rakyat Malaysia amnya.

Apa yang Gherek Bughok harapkan ialah agar pembaca boleh menerima kritikan atau teguran dari Gherekbughok. Almaklumlah namapun GherekBughok. 

Apa-apapun Gherek Bughok akan cuba menyediakan fakta yang setepat mungkin dalam memberi komen atau kritikan. 

Semoga pembaca menyukai dan menerimanya dengan 'open mind'.

Wassallam
read more...