Tuesday, 17 June 2014

Projek Mega dan Ekonomi Setempat

1.Pembinaan projek-projek mega dilaksanakan oleh kerajaan bagi menjana ekonomi setempat dimana berbilion wang dibelanjakan bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dijana selanjutnya meningkatkan permintaan terhadap hartanah dan perkhidmatan. Peluang ekonomi yang dijana diharapkan dapat membangunkan ekonomi penduduk tempatan.

2.Namun, apabila terlaksana projek besar, didapati tujuan asal meningkatkan ekonomi setempat menyebabkan orang luar yang sudah memegang ekonomi datang dan mengambil alih rangkaian ekonomi ditempat yang baru dibangunkan. Penduduk asal gagal bersaing dengan usahawan luar yang ternyata sudah memiliki pengalaman selok belok perniagaan. Akhirnya, penduduk setempat yang dahulunya mempunyai serba sedikit perniagaan dan perusahaan tewas dengan perasingan dan terpaksa menerima tawaran menjual hartanah pada harga yang menarik.

3.Idea pembangunan ekonomi setempat dengan menjana projek mega sangat baik, namun ia perlu disempurnakan dengan penyediaan penduduk setempat agar dapat mengeksploitasi kelebihan tersebut. Kegagalannya, menyebabkan bukan sahaja kek ekonomi tidak dapat dirasai, malah penduduk setempat semakin terpinggir dan hilang segala-galanya.

4.Di negara ini, sudah banyak projek-projek mega yang kononnya akan membawa pembahagian ekonomi kepada penduduk setempat, namun terbukti penumpuan kepada projek mega semata-mata menyebabkan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

5.Projek mega juga tidak lagi menjadi satu umpan yang menarik dimata rakyat, kecuali segelintir orang keliling yang menjangkakan akan mendapat habuan dalam pelaksanaan projek tersebut. Hasil yang dilihat oleh kelompok ini adalah dalam pembinaan projek, bukan hasil yang dibawa oleh operasi setelah projek siap.

6.Apa yang perlu disedari adalah, sudah banyak projek yang ada dan sudah cukup untuk menjana ekonomi jika penduduk setempat dibawa ke dalam kitaran ekonomi sesuatu projek. Pembangunan taman industri contohnya, menyebabkan permintaan kepada perkhidmatan sokongan seperti pembelian alatulis, khidmat konsultant, barangan pejabat, kontraktor pembinaan, pemasangan mesin, pekakasan besi dan sebagainya. Daripada semua ini, berapa peratus bahagian yang dapat dirasa oleh penduduk tempatan, selain dari perkhidmatan kantin?

7.Lebih dekat pembangunan projek dengan negeri yang lebih maju, semakin tipis peluang penduduk tempatan merasai kek ekonomi hasil dari projek-projek tersebut. Di Kedah, contohnya, perusahan-perusahaan di kawasan Sungai Petani, Kuala Ketil, Kulim membawa limpahan ekonomi yang lebih banyak kepada peniaga dari Pulau Pinang berbanding dengan Kedah, walaupun tiada kajian menyeluruh, mereka-mereka yang berada dalam sektor tersebut tahu ini adalah fakta yang tidak mungkin disanggah.

8.Sebelum mengejar projek-projek mega yang belum pasti, penumpuan kepada membina komponen ekosistem ekonomi tempatan adalah lebih utama, walaupun tidak membawa populariti. Apabila pembelian sekecil-kecil kad nama pun ditempah dari Pulau Pinang, kerajaan perlu menjadi lebih baik dengan memikirkan satu kaedah bagaimana membantu penduduk setempat. Kitaran projek mega akhirnya hanya menyebabkan penduduk tempatan hilang lebih banyak tanah dan berpindah ke pinggir hutan.

9.Apabila terdapat tentangan terhadap projek mega, ianya tidak boleh lagi dilihat sebagai penentangan bermotifkan politik, sebaliknya perlu difikirkan dengan sejujur jujurnya kenapa ia ditentang.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Projek Mega dan Ekonomi Setempat"

Post a Comment