Gherek Bughok dah sampai ke kawasan Kulim.
Rancak diperkatakan tentang pembinaan sebuah lapangan Terbang Antarabangsa untuk penumpang dan kargo/logistik.
Pada peringatan Gherek, cerita tentang Airport di Kedah ini sudah lama timbul. Cuma kajian terperinci pada masa dulu menyatakan yang ianya masih belum tiba waktunya untuk ada kerana Kedah perlu fokus kepada isu-isu lain yang perlu segera diambil-tindakan.
Dan jika ditanya kepada pegawai-pegawai kerajaan yang sudah pencen, mereka juga mengatakan yang Kedah ada keutamaan lain yang perlu diberi perhatian serius.
Kenyataan Exco Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi yang lapangan terbang ini bakal melengkapkan pembangunan menyeluruh KHTP, menarik perhatian. Apakah sebuah kawasan industri berteknologi tinggi memerlukan sebuah lapangan terbang dan barulah ia menjadi sebagai taman teknologi lengkap?
Pada pendapat Gherek, KHTP yang ada hari ini bukanlah kerana wujudnya sebuah Airport antarabangsa. Malah Intel, Fuji, Infineon dan lain-lain datang melabur di KHTP sewaktu tidak wujudpun lebuhraya BKE. Mereka datang atas kebijaksanaan ketua KTPC dan pemimpin negeri pada waktu itu.
Bagi mereka ada keperluan lain yang perlu diberi perhatian segera. Contohnya bekalan air, sekolah antarabangsa, bandar Kulim sendiri dan suasana disekitar KHTP yang perlu diperbaiki supaya mereka boleh menetap di KHTP.
Malah apabila lebuhraya BKE wujudpun mereka masih berulangalik dari Kulim ke Penang. Apakah dengan adanya Airport, mereka akan menetap di Kulim Hi Tech?
Lapangan Terbang Kuantan, Ipoh dan Batu Berendam sehingga kini gagal menarik operator kapalterbang untuk mendarat. Inikan pula sebuah lapangan yang berada bersebelahan dengan sebuah lapangan terbang antarabangsa yang sudah terkenal.
Atau apakah YB dan Kedah akan berbangga kerana mempunyai lapangan Terbangyang terbanyak di Malaysia?
Bagi Gherek, keutamaan lain perlu diambil perhatian terutama yang diletakkan dalam manifesto pilhanraya PRU13 lalu. Jangan asyik melaksanakant projek mega baru tetapi akhirnya segelintir kecil manusia yang untung besar, tetapi rakyat juga yang rugi.
Katakan tiba-tiba dengan kuasa Allah Taala, Pulau Pinang ditawan BN pada PRU14 kelak dan UMNO menjadi pemain utama dalam kerajaan Negeri Pulau Pinang, apakah akan timbul konflik besar berkaitan dengan lapangan terbang antarabangsa ini ?
Jika benar, Bayan Lepas tidak mampu menampung sebagai pusat kargo, sudah dibuat kajian kah tentang berapa kapal kargo berlepas setiap bulan sehingga koridor utara memerlukan sebuah lapangan kargo baru?
Apakah projek 'double track' yang bakal memberi laluan lebih kepada kargo juga diambil kira?
Terus-terang Gherek Bughok ingin nyatakan disini yang Kerajaan negeri perlu fokus kepada penambahbaikan kepada projek-projek yang sedia ada. Contoh, semua kawasan-kawasan industri (kecuali KHTP yang mendapat geran dari Pusat) di Kedah perlu diurus dan dijaga dengan baik. Lihat kawasan industri Gurun yang tenantnya terpaksa buat kutipan untuk uruskan kawasan sekitar. Miel dan Ria sungai Petani sudah malap. Bukit Kayu Hitam yang ada industri logistik dan aerospace tidak terjaga.
Kedah sudah ada 2 lapangan terbang, tambahbaik kedua-dua lapangan terbang ini. Lapangan terbang baru mungkin diperlukan bila Kedah dah mencapai taraf negeri maju satu masa nanti. Itupun jika Perak utara tidak berminat untuk ada lapangan terbang sendiri.
Duit yang berbilion ini mungkin boleh diguakan untuk membangunkan Sik, Baling, Padang Terap dan Yan yang sangat ketinggalan. Malah duit yang banyak ini boleh digunakan untuk memperbaiki jeti Kuala Kedah yang kalau kita tengok pun amat sedih. Malah, duit yang banyak ini boleh perbaiki Lapangan terbang Kepala batas supaya lebih baik dan menjadi antarabangsa jika dilakukan dengan baik dan ini dapat memajukan Jitra dan Alor Setar Bandar Metropolis.
Gherek nampak, projek mega bakal menguntungkan Pulau Pinang seperti mana KHTP juga memberi keuntungan kepada Pulau Pinang jika kita lihat dari segi kependudukan.
Jadi Gherek berharap janganlah terlalu ghairan dengan projek-projek mega ini, kerana rakyat Kedah memerlukan penambahbaikan keperluan-keperluan asas yang kalau orang-orang besar Kedah jalan dan lihat sekitar masih banyak kekurangannya.
Berpada-padalah dengan apa yang kita ada dan jagalah dengan baik sebelum terjerumus ke lembah yang bakal merosakkan Kedah suatu hari Kelak. Jangan terlalu ghairah dengan projek Mega sehingga lupa keperluan asas orang Kedah. Penuhilah manifesto PRU13 yang banyak lagi belum dipenhui sepenuhnya.
Jangan jadikan waktu memerintah sebagai masa untuk mengaut kekayaan.
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Jadi tinggalkan nama yang baik dihati rakyat.
ALOR SETAR – Cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baru di Kulim bukan suatu pembaziran, sebaliknya keperluan untuk memberi perkhidmatan logistik kepada Wilayah Utara.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, perkara itu juga bukan dibuat secara terburu-buru malah kajian dan perincian projek sudah dibincangkan dalam Makmal Transformasi Kedah (MTK) pada September 2013.
“Cadangan membina lapangan terbang ini adalah hasil daripada MTK dan sudah dibuat kajian, justifikasi dan rasional sebuah lapangan terbang baru wajar dibina di Selatan Kedah. Antara tujuannya untuk melengkapkan pembangunan secara menyeluruh di Kulim Hi-Teck Park (KHTP) selaras dengan Pelan Transformasi KHTP,” katanya.
Menurutnya, antara aspek yang perlu dibuat penambahbaikan untuk menjayakan pelan itu adalah keperluan membina lapangan terbang antarabangsa.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu turut menempelak kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyifatkan cadangan itu sebagai pembaziran dan tidak berkepentingan rakyat.
“Ini bukan projek yang membazir. Ini keperluan masa depan untuk Wilayah Utara dalam menyediakan perkhidmatan lengkap kepada pelabur dan pemain industri. Malah saya percaya ia juga penting untuk pembangunan Koridor Utara dalam merancakkan lagi pembangunan industri,” ujarnya.
Tambahnya, kemungkinan Guan Eng dibayangi rasa resah sekiranya lapangan terbang baru itu menjadi kenyataan, kelak aliran trafik di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas terjejas atau pelabur luar beralih ke Kedah, berikutan kemudahan yang disediakan lebih baik.
Katanya, fungsi lapangan terbang itu juga kelak lebih menyeluruh dan mempunyai landskap berbeza dengan lapangan terbang berdekatan, antaranya mempunyai dua landasan bagi kegunaan kargo dan penumpang.
“Ia juga bakal dilengkapi perkhidmatan khusus untuk bidang industri yang mana Kedah kawasan industri bertumpu di Sungai Petani dan Kulim. Faktor jarak dari lapangan terbang sedia ada menyebabkan perkhidmatan tidak dapat ditawarkan dengan baik,” katanya.
Merujuk kepada anggaran keluasan mencecah 6,000 hektar, beliau berkata, perkara itu diputuskan setelah butiran terperinci dibincangkan bersama agensi berkaitan termasuk Malaysia Airport Berhad (MAB) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
“Sememangnya kita ada wakil MAB dan DCA dalam Jawatankuasa Infrastruktur dan Kerja Raya bawah MTK yang membincangkan terperinci projek ini. Kita juga dapatkan input berkaitan daripada mereka sebelum perkara itu diputuskan dalam mesyuarat,” katanya.
Ujarnya, perbincangan berkaitan projek itu dibuat dari semasa ke semasa, malah jawatankuasa akan kemukakan kertas kerja dan kajian terperinci baru selepas perkara itu diteliti Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
“Buat masa ini, perancangan awal dalam penelitian Perdana Menteri, butiran terperinci akan dikemukakan lagi apabila kita melalui fasa-fasa perbincangan kerana ia masih di peringkat awal cadangan,” katanya.
0 comments: on "Lapangan Terbang Antarabangsa di Kedah"
Post a Comment